Sunday, March 15, 2009

PERKHEMAHAN TAHUNAN PMH 3

Mengekalkan identiti kemesraan dalam berukhuwwah selari dengan konsep Islam yang sempurna sebuah perkhemahan tahunan telah berjaya dilaksanakan oleh sebuah persatuan islam dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Selangor iaitu Persatuan Mahasiswa Hadhari.

Sebuah persatuan islam yang bermotifkan pembangunan pemikiran islam yang positif dikalangan mahasiswa sedaya upaya membawa mahasiswa untuk turut serta mengalami sendiri keindahan ukhuwwah dalam islam disebalik kehijauan alam semulajadi ini. 

Sebuah aktiviti perkhemahan yang lebih bercorak rehlah dijayakan oleh kira-kira 10 orang fasilitator dan disertai oleh 50 orang peserta yang terdiri daripada kalangan mahasiswa UiTM Shah Alam sendiri. Berbekalkan semangat ingin menuntut ilmu agama yang berlainan dari sistem kuliah biasa, PMH membawa sekumpulan mahasiswa ke Kem Rimba Tamu yang bertempat di Batang Kali, Rawang, Selangor selama 3 hari 2 malam.

Pelbagai aktiviti bertemakan Islam dilakukan bersama-sama sepanjang hujung minggu tersebut. Antara aktiviti yang berjaya dilakukan ialah sesi ceramah dari tokoh agama terpilih, modul jasad kesinambungan dari qiamullail dan kuliah subuh hari, merentasi hutan belantara dan sungai, aktiviti berkumpulan dan peningkatan minda bersama-sama fasilitator.  

Selaku presiden PMH, saudara Ahmad Zaki bin Suhaimi pelajar semester 4  Jurusan  Sarjana Muda Statistik dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik begitu teruja apabila perkhemahan yang hanya dijangka disertai oleh 30 orang peserta bersama fasilitator berikutan kesibukan mahasiswa dalam aktiviti lain berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan.     

“Ukhuwwah sesama mahasiswa amatlah penting bagi melancarkan lagi gerak kerja persatuan mahasiswa dalam mengukuhkan lagi entiti Islam dalam kampus. Pihak persatuan kami berharap melalui program hujung minggu ini, para peserta dapat memahami keinginan UiTM itu sendiri dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpendidikan tinggi malah berfikiran global selari dengan kehendak Islam.”

Beliau berkata sedemikian selepas majlis penutup perkhemahan berikutan adanya mahasiswa yang melahirkan perasaan kecewa kerana tidak dapat turut serta kerana dipenuhi ujian dan kerja kursus yang perlu dihantar kepada pensyarah.

Aktiviti sebegini akan tetap diteruskan untuk tahun yang mendatang dan pihak persatuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam dan yang terlibat kerana begitu memahami keperluan rohani mahasiswa serta memberi peluang kepada mereka untuk tampil bersama jati diri yang teguh, maju dan erat ukhuwah antara satu sama lain. 

No comments:

Post a Comment

..BERBAKTI DENGAN KASIH,MENCURAH KERINGAT BERSAMA..