Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Sunday, September 19, 2010

Puasa Sunat Enam.....

Perkongsian dari blog: Ikatan Mahasiswa Madani (IMAM) UiTM Perlis

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta ketaqwaan.

Kini dengan tibanya bulan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita.

Kalau di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?

Antara amalan-amalan sunat yang menjadi rebutan para salihin di bulan Syawal ini ialah amalan puasa sunat enam. Apakah dia puasa sunat enam itu?


Definisi Serta Fadhilat Puasa Enam


Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal.

Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”


(Hadits Riwayat Imam Muslim)


Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”


(Hadits Riwayat Imam Al-Darimi)

Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Hukum Dan Kedudukan Orang Berpuasa Sunat Menghadiri Jemputan Rumah Terbuka



Amalan berziarah atau berkunjung-kunjungan di Hari Raya Aidil-Fitri sudah menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang lebih biasa disebut dengan "open house".

Bagi mereka yang sedang berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa enam.

Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadits riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”

(Hadits Riwayat Imam Muslim)



Orang yang diundang menghadiri jemputan sedangkan dia berpuasa, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya untuk memakan makanan yang dihidangkan kepadanya oleh tuan rumah. Jika puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.

Adapun jika sekiranya puasa yang dikerjakannya itu adalah puasa sunat, maka adalah dibolehkan baginya untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu bahkan adalah sunat baginya untuk berbuka seandainya tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh orang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, Baginda bersabda:

Maksudnya: “
"Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”


(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)



Ini sama halnya dengan tuan rumah yang menjemput ataupun didatangi oleh tetamu padahal tuan rumah itu sedang berpuasa sunat, lalu tetamunya itu berkeberatan untuk memakan makanan yang dihidangkan olehnya dan tidak mahu memakannya kecuali jika tuan rumah yang sedang berpuasa itu turut makan bersamanya – maka dalam hal ini, sebagai menghormati tetamu itu, adalah lebih afdhal bagi tuan rumah itu untuk berbuka dan makan bersama-sama tetamunya tadi kerana Ummu Hani’ Radhiallahu ‘anha sewaktu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pergi berkunjung ke rumahnya, Ummu Hani’ menghidangkan minuman kepada Baginda. Setelah minum, Baginda memberikannya semula kepada Ummu Hani’, lalu Ummu Hani’ pun meminum bakinya. Kemudian Ummu Hani’ pun berkata:

Maksudnya:
"Aku telah berdosa, maka mintalah keampunan untukku, Baginda bersabda: Apakah ia (dosamu itu)? Katanya: Aku ini berpuasa, dan aku berbuka. Baginda bersabda: Adakah puasa qadha yang engkau kerjakan itu? (Ummu Hani’) berkata: Bukan. Baginda bersabda: (Berbuka puasa sunat itu) tidak memberi mudharat kepadamu."


(Hadits Riwayat Imam at-Tirmidzi).



Akan tetapi jika tuan rumah atau tetamu itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika dia meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama baginya untuk terus berpuasa.

Jika dia berbuka juga maka dia tidak akan beroleh pahala puasa yang telah dilakukannya tadi. Berlainan halnya, jika dia berbuka kerana keuzuran misalnya kerana ingin menemani tetamunya makan atau untuk menjaga hati tuan rumah, maka puasanya tadi itu akan diberikan pahala sungguhpun dia tidak dapat menyempurnakannya sepertimana yang disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj.

Bagaimanapun, tidak meneruskan puasa sunat tanpa keuzuran adalah makruh di sisi hukum syara‘ berdasarkan zahir firman Allah Ta‘ala dalam Surah Muhammad ayat 33:

Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu batalkan amalan kamu!”


(Surah Muhammad:33)

Hukum Menqadha Puasa Sunat

Orang yang sedang berpuasa sunat adalah berkuasa ke atas dirinya samada ingin meneruskan puasanya ataupun tidak. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Ummu Hani‘ Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya:
“Orang yang sedang berpuasa sunat itu adalah raja bagi dirinya, jika dia mahu dia berpuasa dan jika dia mahu dia berbuka.”


(Hadits Riwayat Imam Ahmad)



Menurut pendapat mazhab Imam as-Syafi‘e, orang yang tidak meneruskan puasa sunat samada kerana keuzuran ataupun tidak, maka tidaklah wajib ke atasnya menqadha puasanya itu bahkan hukumnya adalah sunat. Ini kerana jika hukum menqadhanya adalah wajib, maka sudah pasti hukum tidak meneruskannya (puasa sunat) adalah haram.

Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya:
“Aku membuat makanan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Baginda dan sahabat-sahabat Baginda pun datang. Maka apabila makanan dihidangkan, seorang laki-laki daripada suatu kaum berkata: "Sesungguhnya aku sedang berpuasa." Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu." Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu."”


(Hadits Riwayat Imam al-Baihaqi)



Maka ambillah peluang ini dengan sebaiknya kerana puasa enam ini berserta kelebihan-kelebihannya hanya hadir setahun sekali. Jadi janganlah ia dilepaskan begitu saja kerana agama Islam dengan penuh tolak ansur telah memberikan kemudahan bagi kita untuk mengerjakan puasa enam itu bukan dalam suasana hari raya.

Sumber: Pejabat Mufti Negeri, Brunei Darussalam

Sunday, July 25, 2010

Nisfu Syaaban mengingatkan kedatangan Ramadan


BULAN Syaaban adalah antara bulan yang mulia di sisi Allah swt.

• Ia adalah bulan yang membawa keberkatan.
• nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya.
• Baginda Rasulullah saw banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini.
• Umat Islam digalakkan melakukan amal ibadat dengan berganda. Ini kerana Nabi kita Muhammad saw meningkatkan amal ibadatnya kepada Allah swt pada bulan yang agung ini.

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nasaei dari Usamah bin Zaid ra berkata:
''Aku bertanya Rasulullah tentang bulan Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana beliau berpuasa dalam bulan Syaaban.
Baginda menjawab: ''Bulan yang banyak manusia lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan catatan amalan hamba kepada Allah swt. Dengan itu aku amatlah suka supaya diangkatkan amalanku ketika aku berpuasa."

Sebenarnya amal ibadat hamba diangkat oleh malaikat tiap-tiap hari manakala amal ibadat bulan Syaaban ini bolehlah dikatakan laporan tahunan bagi amalan hamba.

Hadis ini menunjukkan bahawa ramai yang lalai dalam bulan Syaaban ini. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat seperti mana mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa beribadat kepada Allah swt pada bulan Ramadan. Ini kerana adat Jahiliyah dahulu orang Mekah lebih mengutamakan dan memuliakan bulan Rejab dan melupakan bulan Syaaban.

Di antara hikmah digalakkan banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban ialah kerana selepasnya dituruti oleh bulan Ramadan yang diwajibkan berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa pada bulan Syaaban merupakan perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan puasa Ramadan sepenuhnya.

Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kuranglah rasa penat dan tidak terkejut untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.

Sebuah hadis lagi yang memberi perangsang kepada kita umat Islam supaya mengikut sunah Rasulullah saw.

1. Dari Ummu Salamah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah Rasulullah saw berpuasa dalam setahun sepenuhnya kecuali bulan Syaaban. Kemudian baginda terus menyambung puasa Ramadan.

2. Al-Nasai dari Ummu Salmah berkata: ''Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali bulan Syaaban dan Ramadan.

3. Aishah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah berpuasa bulan Syaaban kesemuanya.

Berkenaan dengan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Habban dalam kitab al-Sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang maksudnya: Allah swt melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang menyebarkan fitnah.

Dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: ''Allah swt memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.

Hadis-hadis ini menggambarkan kepada kita kelebihan bulan Syaaban yang sungguh istimewa. Ibadat mesti digandakan sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah yang membanyakkan puasa sunat. Hadis tersebut juga menunjukkan bahawa Allah swt sedia memberi keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat.
Ibadat pada malam Nisfu Syaaban:

1. Ibadat yang khusus dilakukan pada malam itu ialah:

2. Sembahyang lima waktu, sunat dan tahjud.

3. Membaca al-Quran. Kalau tidak boleh menghabiskan semuanya, sekurang-kurangnya membaca surah Yasin, al-Waqiah, al-Mulk, al-Insan, al-Hashr, al-Muzammil dan surah al-Mudathir.

4. Banyak beristighfar kepada Allah.

5. Bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca berbagai doa dan zikir yang ma'thur.

Sebenarnya tidak ada doa khusus untuk dibacakan pada Nisfu Syaaban. Kita mesti ingat bahawa Allah swt sentiasa membuka pintu taubat bukan pada malam Nisfu Syaaban sahaja bahkan ia sentiasa terbuka waktu pagi dan petang, siang dan malam.

Peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban:

Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah:

• Peristiwa pertukaran kiblat. Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: ''Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmakdis al-selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar. Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah.

Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ''Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ''Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Hikmah : Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

Monday, July 19, 2010

Ada HikmahNya


Ada Hikmahnya
Sumber :www.iluvislam.com

Editor: RosNiza Abdullah

Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Satu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampung yang tahu akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu, "Kami simpati atas kehilangan kuda kesayangan Tok.Tentu Tok sedih.."

Sebaliknya,Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, "Tak apalah.Mesti ada hikmahnya."

"Apa hikmahnya Tok?"

"Tok pun tak tahu. Tapi pasti ada hikmahnya."

Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.

"Tok bertuahlah.Untung." Begitulah kata mereka.

Tok Penghulu sebaliknya berkata, "Belum tentu lagi.Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya."

Anak lelaki Tok penghulu begitu gembira dengan kuda-kudanya. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil mengembala kuda-kuda liar yang lain. Entah bagaimana pada satu hari, anak Tok Penghulu itu jatuh daripada kudanya lalu tangan kanannya patah.

Orang kampung tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.

"Malang benar nasib tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula," kata mereka.

Tok Penghulu tersenyum dan berkata, "Ini ujian Allah.Tentu ada hikmahnya."

Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!" Arah ketua tentera.

Semua ibubapa kampung itu risau dan sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.

"Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!" Kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.

Pada ketika itu, terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, "Mesti ada hikmahnya."

Pengajaran:

Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat daripada sudut yang baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun didalam hati sentiasa mengharap kebaikan disebaliknya daripada Allah.